Medallion Fund mungkin merupakan hedge fund yang paling misteri dan menguntungkan dalam sejarah. Dana ini ditubuhkan pada 1988 oleh Jim Simons dan syarikatnya, Renaissance Technologies, dan sejak itu menjadi legenda dalam dunia kewangan. Purata pulangan tahunan dana ini dilaporkan sekitar 66% sebelum caj dan kira-kira 39% selepas caj. Angka tersebut membuatkan pencapaian Medallion hampir mustahil untuk ditandingi oleh dana dan pelabur lain. Pelaburan $1,000 dalam dana ini pada 1988, kini bernilai lebih daripada $55 bilion di penghujung 2024.
Mengapa Medallion Fund Ditutup kepada Pelabur Luar?
Di awal penubuhan dana ini, ia dibuka kepada pelabur luar. Namun, ketika awal 2000-an, pihak pengurusan telah menutupnya kepada pelabur luar, kemudian hanya dibuka untuk kakitangan Renaissance Technologies. Antara faktor keputusan ini dibuat:
- Likuditi terhad – Untuk menguruskan pelaburan dengan berkesan, dana ini mengehadkan jumlah modal yang dikendalikan. Dengan kata lain, dana ini bergantung pada ketidakseimbangan pasaran yang hanya berkesan dalam skala tertentu, dan jika modal pelaburan bertambah, keuntungan dana akan terjejas.
- Potensi keuntungan tinggi – Pengasas dana ini menyedari bahawa mereka telah menjana keuntungan yang sangat besar sehinggakan tidak perlu mendapatkan dana tambahan. Keputusan ini berbeza dengan sifat tamak sememangnya diketahui dalam dunia kewangan, dan tidak dinafikan juga bahawa dana ini memang menjana keuntungan yang luar biasa.
- Rahsia – Renaissance Technologies menggunakan model matematik dan algoritma yang rumit. Sekiranya strategi tersebut diketahui umum ia akan menjejaskan keberkesanannya.
Siapakah yang Menjadi Tulang Belakang Medallion Fund?
Jim Simons, pengasas Renaissance Technologies, bukanlah seorang pemodal (financer) tradisional, sebaliknya seorang ahli matematik dan kriptografi. Sebelum menceburi dunia kewangan, beliau pernah berkhidmat dalam penyahsulitan kod untuk Agensi Keselamatan Kebangsaan AS (NSA). Pendekatan beliau dalam pelaburan tidak berasaskan analisis tradisional terhadap syarikat atau pasaran, sebaliknya beliau menggunakan permodelan matematik dan pemprosesan data. Dari semasa ke semasa, lebih ramai saintis terkemuka, termasuk ahli fizik dan saintis komputer telah menyertai pasukan Medallion.
Siapakah yang Meraih Keuntungan dalam Medallion Fund?
Majoriti pelabur dalam dana ini terdiri daripada saintis, ahli matematik, ahli fizik, dan saintis data. Pihak pengurusan dana ini bukanlah dianggotai oleh trader yang sudah biasa dalam kewangan atau analisis kewangan dari Wall Street. Sebaliknya, Renaissance Technologies mengambil kepakaran mereka yang arif dalam statistik, pembelajaran mesin, dan sains komputer. Individu-individu tersebut membangunkan algoritma yang sofistikated, menganalisis set data berskala besar, dan mencari pattern yang membolehkan dana tersebut kekal berada di kedudukan teratas.
Adakah Kejayaan Medallion Fund Mampu Diulangi?
Kisah Medallion Fund boleh menjadi inspirasi berguna kepada trader, namun untuk mengulangi kejayaannya adalah sesuatu yang sangat sukar. Berikut adalah beberapa pengajaran penting daripada kisah dana ini:
- Disiplin dan automasi — dana ini bergantung sepenuhnya kepada algortima dan tidak dipengaruhi emosi manusia. Emosi sering kali menjadi faktor penghalang bagi trader untuk membuat keputusan yang cepat dan tepat, tanpa keraguan.
- Analisis data — kejayaan Medallion adalah berasaskan pemprosesan maklumat dan mencarai pattern. Untuk mengulangi kejayaan fundamental ini, atau sekurang-kurangnya hampir menyamainya, anda memerlukan pengetahuan mendalam dalam matematik, statistik, pembelajaran mesin, pemprosesan data, fizik dan bidang berkaitan yang lain. Seorang individu tidak mampu menjadi pakar dalam semua bidang tersebut. Namun, dengan pengenalan kecerdasan buatan (AI) yang lebih moden, proses ini menjadi lebih mudah berbanding abad lalu.
- Strategi tertutup — dana ini merahsiakan strategi yang digunakannya, dan ia menjadi faktor utama yang membolehkan dana ini kekal di puncak. Dengan kata lain, jika anda telah menemui strategi yang berkesan, anda tidak patut mendedahkannya kepada umum. Ini kerana tindakan itu boleh membuatkan ia tidak lagi berkesan kerana lebih ramai orang menggunakannya, pasaran kawangan akan lebih teradaptasi dengan strategi tersebut.
Kesimpulan
Medallion Fund kekal menjadi model potensi keuntungan yang tidak dapat ditandingi dalam dunia pelaburan. Ia telah membuktikan bahawa intuisi dan pengalaman sahaja tidak mencukupi untuk berjaya dalam pasaran kewangan. Sebaliknya, model matematik berkemampuan tinggi dan analisis data yang tepat mampu memberi kelebihan. Dana ini terus menjadi tanda aras yang begitu sukar dicapai oleh kebanyakan pelabur dan trader. Namun, sejarah yang telah dilakarkannya menunjukkan betapa pentingnya pendekatan saintifik dan kemajuan teknologi dalam dunia pelaburan.