Isu ini sering dihadapi oleh trader, terutamanya untuk mereka yang masih baru. Jika anda telah merencanakan satu strategi dan mengujinya pada data terdahulu (historical data), dan anda mendapati hasilnya cukup meyakinkan. Namun, sebaik sahaja anda mula trading pada akaun sebenar, segalanya nampak tidak kena: pelaksanaan dagangan anda tidak berkesan, tidak menguntungkan, dan mungkin sehingga modal anda menyusut kepada negatif. Mengapa? Mari kita sama-sama bincangkan masalah ini.

1. Backtest Mewujudkan Dunia Trading yang Ideal

Apabila anda menguji strategi pada data terdahulu, sesi dagangan tersebut seolah-olah berlaku dalam dunia dagangan sendiri, di mana:

  • Order dilaksanakan serta-merta pada harga yang diinginkan
  • Tiada spread, komisen dan/atau slippage (atau requote jika broker menggunakan model Instant Execution)
  • Tiada pengaruh sikap dan emosi manusia (panik, takut, tamak).

Pasaran sebenar tidak sama. Harga boleh berubah ketika order anda dilaksanakan, terutamanya semasa berita penting diumumkan dan volatility tinggi. Jika anda berdagang dalam jumlah yang besar, pasaran mungkin tidak membenarkan anda memasukkan order pada harga yang diinginkan.

2. Overfitting

Salah satu kesilapan yang biasa berlaku adalah merancang strategi yang berkesan dengan data terdahulu tetapi tidak berkesan pada masa hadapan. Ia boleh diibaratkan seperti belajar untuk menghadapi peperiksaan, tetapi soalan yang diberikan pada hari peperiksaan sebenar berbeza dengan apa yang anda belajar. Keberkesanan strategi dalam data sebelum ini tidak menjamin kejayaan dalam trading sebenar.

Cara mengelakkannya:

  • Uji strategi pada rangka masa dan instrumen berbeza.
  • Pisahkan data kepada data sebenar dan data ujian (ujian luar sampel).
  • Gunakan analisis walk-forward

3. Persekitaran Pasaran yang Berubah

Pasaran dagangan tidak seperti geometri matematik yang sudah ada formulanya, dan ia juga tidak statik. Pasaran kewangan adalah bidang yang sentiasa berkembang. Sekiranya sesuatu strategi berkesan dalam pasaran yang tenang, ia mungkin menghasilkan prestasi berbeza dalam pasaran mengalami volatility tinggi atau dalam krisis. Trend dan likuiditi sentiasa berubah, dan algoritma yang digunakan oleh trader atau pemain utama dalam pasaran turut sama bertukar-tukar. Semua faktor tersebut mempengaruhi trading anda.

4. Emosi dan Psikologi Trader

Dalam backtesting, fokus anda hanya pada carta dan berkata “Oh, disinilah point paling sesuai nak masuk, dan di sini sesuai keluar dagangan”. Dalam dunia trading sebenar, apabila harga pasaran tidak menepati jangkaan, anda diselubungi rasa takut, mengundang perasaan ragu-ragu, atau melanggar peraturan trading. Hasilnya, strategi yang terbukti menguntungkan boleh mendatangkan kerugian disebabkan emosi.

5. Masalah Teknikal

Dalam backtest, tiada:

  • Sambungan terputus atau kelewatan dalam pelaksanaan order.
  • Isu teknikal pada terminal atau platform.
  • Perbezaan harga mengejut atau perubahan pasaran yang disebabkan oleh berita penting atau insiden tertentu.

Semua perkara ini terjadi dalam dunia trading sebenar, terutamanya jika broker tidak menyediakan proses pelaksanaan order yang berkualiti tinggi.

Bagaimana Cara Jadikan Backtest Lebih Realistik?

  • Ambil kira spread dan komisen akaun – komisen kecil sekalipun boleh memberi kesan pada hasil dagangan. Masukkan risiko slippage – bergantung pada volatility aset, tambahkan slippage dalam lingkungan 0.1%- 0.5%.
  • Uji strategi di pasaran sebenar (forward-test) – bermula di akaun demo, kemudian di akaun sebenar/live dalam jumlah yang kecil.
  • Berikan tumpuan pada statistik – perhatikan drawdown maksimum, kestabilan keuntungan, dan nisbah risiko/keuntungan.
  • Elakkan over-optimization – strategi trading ini sepatutnya berkesan tidak hanya pada data terdahulu, malah juga dalam pasaran sebenar.

Kesimpulan

Backtest menyediakan maklumat yang sangat berguna, namun anda tidak boleh percaya bulat-bulat hasil dagangan yang ditunjukkan. Ujian sebenar untuk sesuatu strategi adalah pasaran dagangan sebenar. Gunakan backtest sebagai alat untuk penilaian peringkat awal, dan sentiasa uji strategi menggunakan modal yang minimum sebelum menambah volume dagangan.